Chan Peng Soon: Lagenda Beregu Campuran Dan Pemilik Pingat Olimpik
Sports

Chan Peng Soon: Legenda Beregu Campuran Dan Pencapaian Pingat Olimpik

Chan Peng Soon Blog Featured ImageChan Peng Soon Blog
396Views

Pemilik nama Chan Peng Soon merupakan antara atlet badminton paling berbakat yang pernah Malaysia miliki. Beliau terkenal dalam kategori beregu campuran bersama dengan pasangan beregunya iaitu Goh Liu Ying. Gandingan mereka berdua di atas gelanggang ternyata mempunyai magis yang tersendiri sehinggakan mereka berdua berjaya memenangi pingat dalam sukan berprestij iaitu Sukan Olimpik Rio 2016. Beliau juga pernah mencatatkan rekod yang membanggakan iaitu berada diranking ketiga dunia bersama dengan Liu Ying bagi kategori beregu campuran pada tahun 2012. Sebelum itu, beliau dan Liu Ying secara konsisten berjaya menempatkan diri dalam senarai 10 teratas ranking dunia.

Karier Badminton

Sebelum bergandingan dengan Liu Ying, Chan Peng Soon merupakan pasangan beregu Lim Khim Wah. Melalui gandingan beregu lelaki ini, Chan Peng Soon berjaya memenangi gelaran antarabangsanya yang pertama dalam Terbuka Thailand 2009. Mereka berdua telah menewaskan rakan senegara iaitu Choong Tan Fok dan Lee Wan Wah diusingan akhir.

Pada tahun yang sama, Chan Peng Soon dan Liu Ying berjaya meloloskan diri sehingga ke peringkat akhir dalam kejohanan antarabangsa pertama yang mereka sertai iaitu di Terbuka Vietnam. Walaupun kalah kepada pasangan Flandy Limpele dan Cheng Wen-hsing, namun ia ternyata menjadi titik tolak kejayaan yang lebih gemilang buat beregu campuran negara ini.

Pada April 2010, beregu ini telah menjadi pemain beregu campuran pertama Malaysia yang berjaya merangkul gelaran juara dalam Kejohanan Badminton Asia dengan menundukkan beregu Korea Selatan, Yoo Yeon Seong dan Kim Min Jung. Chan Peng Soon juga berjaya meraih emas semasa Temasya Sukan Komanwel 2010 juga dalam acara berpasukan campuran. Namun dalam acara beregu campuran bersama dengan Liu Ying, mereka terpaksa melepaskan gangsa kepada pasangan Chayut Triyachart dan Yao Lei yang mewakili Singapura.

Perpisahan Dengan Liu Ying

Akibat pembedahan lutut yang dilakukan ke atas Liu Ying, pasangannya itu terpaksa direhatkan. Berikutan itu, mahu tak mahu Peng Soon terpaksa mendapatkan rakan beregu baharu. Pada Januari 2014, Peng Soon telah digandingkan dengan Lai Pei Jing. Gandingan baru ini berjaya melepaskan diri ke peringkat akhir Kejohanan Antarabangsa Austria. Namun mereka tewas kepada Robert Mateusiak dan Agnieszka Wojtkowska dari Poland.

Dalam Sukan Komanwel 2014. Peng Soon berjaya membantu Malaysia mendapatkan pingat emas bagi acara beregu campuran. Manakala untuk acara beregu campuran Peng Soon dan Lai ditewaskan pasangan Robert Blair dan Imogen Bankier semasa merebut pingat gangsa.

Beregu Campuran Terbaik Negara

Ternyata jodoh anak kelahiran George Town ini masih lagi panjang dengan Liu Ying. Pasangan ini terus berjuang di gelanggang untuk merebut lebih banyak lagi kejuaraan antarabangsa.

Pada tahun 2015, mereka berdua telah berjaya merangkul gelaran juara dalam 3 kejohanan iaitu Terbuka Poland, Terbuka Rusia dan Terbuka Mexico. Dalam Sukan SEA tahun yang sama, mereka mendapat pingat perak setelah ditumpaskan oleh pasangan Praveen Jordan dan juga Debby Susanto dari Indonesia.

Tahun 2016 pastinya menjadi detik yang paling bermakna yang akan diingati oleh Peng Soon. Dalam Sukan Olimpik Musim Panas Rio, beliau dan Liu Ying berjaya merangkul pingat perak buat negara. Paling bermakna apabila pasangan ini turut mencipta sejarah sebagai pasangan beregu campuran negara pertama yang berjaya mendapat pingat dalam Sukan Olimpik.

Pada tahun 2017 pula, mereka berdua telah membantu Malaysia menamatkan kemarau 72 tahun Malaysia apabila berjaya ke peringkat akhir Kejohanan All England. Kali terakhir pasukan beregu campuran negara berjaya lolos ke pusingan akhir kejohanan itu adalah pada 1955. Peng Soon dan pasangannya hampir memenangi pingat emas dalam kejohanan ini. Tapi, nasib tak menyebelahi mereka apabila tewas kepada China yang diwakili Lu Kai dan Huang Yaqiong dalam rubber set. Pada bulan April tahun yang sama, pasangan ini berjaya menempatkan diri ke separuh akhir Terbuka India. Kali ini, impian untuk menyarung sebarang pingat tidak kesampaian apabila Liu Ying pula jatuh sakit. Ini memaksa mereka berdua menyerah kalah kepada Zheng Siwei dan Chen Qingchen.

Kekecewaan mereka berterusan apabila kalah dalam pusingan pertama Terbuka Malaysia kepada Edi Subaktiar dan Gloria Emanuelle Widjaja. Sekali lagi Peng Soon terpaksa menukar pasangan apabila Liu Ying mengalami masalah kecederaan. Kali ini beliau bergandingan dengan Peck Yen Wei. Pada Jun tahun yang sama, beliau dipasangkan pula dengan Cheah Yee See. Bersama dengan Yee See, Peng Soon meraih emas sekali lagi di Terbuka Rusia 2017.

Dalam Sukan SEA 2017, Peng Soon turut mencipta kejayaan apabila menang pingat perak untuk kumpulan lelaki dan pingat gangsa untuk acara beregu campuran individu. Gandingannya dengan Yee See diteruskan lagi sehingga berjaya ke peringkat separuh akhir Terbuka Korea sebelum tumpas di tangan Wang Yilyu dan Huang Dong Ping.

Pada Januari 2018, beliau kembali berpasangan dengan Liu Ying dan menjuarai kejohanan Thailand Masters. Dalam Sukan Komanwel 2018 pula, beliau merangkul perak dalam acara berpasukan campuran. Peng Soon dan Liu Ying berjaya lolos ke separuh akhir acara beregu campuran individu sebelum ditumpaskan pasangan Chris Adcock dan Gabby Adcock. Mereka kemudiannya berjaya memperoleh pingat gangsa setelah berjaya menundukkan pasangan dari India iaitu Satwiksairaj Rankireddy dan Ashwini Ponnappa.

Pada Julai 2019, Peng Soon dan Liu Ying cuba mencipta magis sekali lagi di Sukan Olimpik Musim Panas 2020. Namun harapan tersebut musnah apabila mereka tersingkir pada peringkat kumpulan.

Berpisah Selamanya

Pada 6 Disember 2021, dalam akaun instagram miliknya, Peng Soon telah mengumumkan bahawa dia akan berpisah dengan Liu Ying yang telah 13 tahun bersamanya dengannya di dalam gelanggang.

Peng Soon kemudiannya digandingkan dengan Veleree Siow dan kemudiannya menukar pasangannya regunya sekali lagi. Kali ini, Peng Soon kembali bergandingan dengan Cheah Yee See. Namun, siapa sangka Liu Ying akhirnya berjaya memujuk Peng Soon untuk bergandingan buat kali terakhir di Terbuka Malaysia pada Januari 2023. Ia boleh diibaratkan sebagai hadiah perpisahan terakhir memandang ia merupakan kejohanan terakhir yang disertai Liu Ying sebelum wanita berusia 30-an itu bersara. Walaupun terkandas dipusingan pertama apabila tewas kepada pasangan Indonesia Rehal Naufal dan Lisa Ayu Kusumawati, kejohanan tersebut pastinya akan memberikan memori berharga buat duo lagenda ini.

Peng Soon dan Liu Ying telah mencipta banyak kejayaan bersama. Pencapaian tertinggi mereka tentulah sebagai naib juara Olimpik. Selain itu juga, mereka pernah merangkul emas dalam Kejohanan Asia. Mereka juga turut menjuarai Kejohanan BMF Tour sebanyak empat kali dan satu kejuaraan BMF Superseries. Layaknya mereka digelar pasangan beregu campuran terhebat negara.

Perjalanan Karier Terkini

Walaupun pasangan regunya sering bertukar ganti, Peng Soon masih belum menunjukkan sebarang tanda-tanda untuk memperlahankan karier badmintonnya. Biar pun beliau ada menyatakan perancangannya untuk bersara, ia bukanlah dalam masa terdekat. Ikon beregu campuran ini masih ingin bermain di gelanggang antarabangsa. Misinya kini adalah untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik pada tahun 2024.

Semoga cita-cita Peng Soon di temasya sukan terbesar dunia itu bakal tercapai. Dan mungkin kali ini dia akan menyumbang pingat emas pula untuk negara. Siapa tahu kan?

CLOSE