Goh Liu Ying: Kisah Inspirasi Pakar Beregu Malaysia
Sports

Goh Liu Ying: Kisah Inspiratif Ahli Beregu Malaysia

Goh Liu Ying Blog Featured ImageGoh Liu Ying Blog
509Views

Bagi yang meminati sukan badminton, anda tentunya mengenali figura cantik yang bernama Goh Liu Ying. Beliau merupakan salah seorang atlet badminton terhebat Malaysia. Bersama dengan gandingannya Chan Peng Soon, mereka telah banyak kali menghadiahkan pingat buat negara dalam setiap perlawanan yang mereka sertai sehingga berjaya tersenarai di tangga ke-3 teratas dalam ranking dunia. Kali ini kita akan cuba mendalami kisah suka duka kerjaya atlet veteran dalam sukan badminton bagi acara beregu campuran ini.

Biodata

Bintang badminton ini dilahirkan pada 30 Mei 1989 dan merupakan anak jati Alor Gajah Melaka. Goh Liu Ying merupakan satu-satunya anak perempuan bagi pasangan Goh Goh Chak Whee dan Yong Oi Lin. Beliau juga mempunyai dua adik lelaki iaitu Qi Hao dan Goh Qi Liang. Beliau mula belajar bermain badminton seawal usia 5 tahun. Minatnya dalam dunia badminton ini turut dipupuk oleh bapanya. Menurut Liu Ying sewaktu kecil, beliau adalah seorang kanak-kanak yang aktif. Jadi, bapanya sering mengajaknya untuk bermain badminton bersama-sama. Sejak dari itu, badminton telah menjadi sukan yang paling dicintainya.

Bapanya sendiri bertindak menjadi jurulatihnya sejak usia 5 tahun. Bapanya pernah memberitahu harapannya untuk melihat Liu Ying menjadi salah seorang pemain kebangsaan. Impian bapanya mula menampakkan sinar apabila pada usia 13 tahun, Liu Ying mendapat peluang melanjutkan pelajaran di sekolah sukan terkenal Malaysia, iaitu Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Kerjaya Atlet

Pada tahun 2009, Liu Ying dan pasangannya telah berjaya mara ke peringkat akhir kejohanan Terbuka Vietnam. Kejohanan ini merupakan kejohanan antarabangsa pertama mereka sebagai pasangan beregu campuran. Harapan untuk menyarung pingat emas terkubur apabila mereka dikalahkan oleh pasangan dari Indonesia Flandy Limpele dan Cheng Wen-hsing.

Sukan Olimpik Musim Panas 2012 merupakan penampilan sulung Liu Ying di pentas Olimpik bersama pasangan beregunya. Ia merupakan rekod berharga buat gandingan itu. Beliau dan gandingannya Chan Peng Soon adalah beregu campuran pertama Malaysia yang layak ke Sukan Olimpik. Walaupun pasangan ini kalah dalam ketiga-tiga perlawanan kumpulan dan gagal mara ke suku akhir, mereka berjaya menebus kekecewaan itu dengan memenangi Kejohanan Super Series pertama mereka di Terbuka Jepun. Mereka berjaya menewaskan saingan dari Indonesia iaitu Muhammad Rijal dan Lilyana Natsir.

Pada November tahun yang sama, gandingan hebat ini berjaya melayakkan diri sehingga ke peringkat akhir Terbuka China. Mereka terpaksa berpuas hati dengan perak setelah ditundukkan oleh pilihan utama ketika itu Xu Chen dan Ma Jin dalam straight set. Penghujung tahun tersebut, pasangan ini berjaya menduduki ranking ke-3 dunia.

Pembedahan Lutut

Malang buat diri Liu Ying apabila beliau dibelenggu dengan masalah kecederaan. Tidak mampu bertahan, pada tahun 2014 beliau terpaksa melakukan pembedahan pada kedua-dua belah lututnya. Ini menyebabkan gadis ini terpaksa berehat selama 11 bulan dari gelanggang. Siapa sangka dalam tempoh 11 bulan tersebut, beliau yang dahulunya berada dalam ranking 10 pemain beregu campuran terbaik dunia kini telah menjunam ke tangga 200 ke atas!

Adakah ini membuatkan Liu Ying berputus asa dan bersara dari arena sukan yang diminatinya? Jawapannya tidak sama sekali. Kecintaan dalam dunia badminton telah mendorong Liu Ying untuk bangkit dan kembali menggegarkan arena badminton dunia.

Aksi Cemerlang

Liu Ying kembali ke gelanggang dengan mempamerkan aksi yang cemerlang bersama pasangan beregunya sepanjang tahun 2015. Keazaman yang ditonjolkan telah membuahkan hasil apabila beliau berjaya meraih pingat emas dan perak bersama Peng Soon menjelang Sukan Olimpik Rio 2016. Peluang untuk beraksi sekali lagi di pentas Olimpik tidak disia-siakan oleh Liu Ying dan pasangannya. Matlamat awal mereka hanyalah untuk mempamerkan aksi terbaik buat Malaysia. Siapa sangka akhirnya mereka berjaya bertahan sehingga ke peringkat akhir?

Kejayaan meraih perak di Rio pasti menjadi momen bersejarah yang sangat berharga bukan sahaja buat negara tetapi juga untuk diri Liu Ying sendiri. Jutaan penonton Malaysia yang menyaksikan detik bersejarah itu dari layar rumah mereka melihat Liu Ying menaiki podium dengan perasaan gembira dan bangga. Semua orang berasa teruja menyaksikan beliau disarungkan pingat sekaliguskan menjadi pemain badminton wanita pertama Malaysia berjaya memenangi pingat di Sukan Olimpik.

Pada May 2017 pula, beliau dan beregunya sekali lagi mencatatkan sejarah apabila menjadi beregu campuran pertama Malaysia yang layak ke pusingan akhir Kejohanan Terbuka All England sejak tahun 1955! Harapan untuk menyumbang emas punah selepas mereka berdua ditewaskan oleh pilihan ke-5 iaitu Lu Qai dan Huang Yaqiong.

Persaraan

Setelah 13 tahun memerah keringat demi mengharumkan nama negara, wanita hebat ini mengambil keputusan untuk menggantung raket pada usia 34 tahun. Walaupun telah mengumumkan persaraannya, Liu Ying tetap bersemangat untuk beraksi kali terakhir di gelanggang sendiri dalam Terbuka Malaysia pada 11 Januari 2023. Walaupun tidak berjaya meraih pingat terakhir setelah tumpas di pusingan pertama kepada saingan dari Indonesia, Reha Naufal-Lisa Ayu Kusumawati, kejohanan ini tetap memberikan pengalaman indah kepada Liu Ying. Ini kerana di kejohanan yang sama inilah dia telah memulakan gandingannya dengan Chan Peng Soon pada 15 tahun yang lain.

Bersama Peng Soon, Liu Ying telah meraih 12 gelaran sejak 2008 termasuk menjadi juara Asia 2010 dan Terbuka Jepun 2012. Mereka turut berjaya menjadi naib johan dalam beberapa kejohanan utama antarabangsa iaitu dua kali pada Terbuka Malaysia 2013 dan 2016 serta Seluruh England pada tahun 2017. Kejayaan-kejayaan ini telah membuatkan mereka digelar sebagai beregu campuran terbaik negara.

Hala Tuju Selepas Persaraan

Walaupun tidak lagi memegang raket, namun Liu Ying tidak dapat berpisah dengan sukan yang dicintainya ini. Sebelum menyuarakan keputusannya untuk bersara, Liu Ying telah pun memikirkan hala tujunya selepas tidak lagi bergelar atlet. Perancangannya itu tentu sekali tidak dapat dari dunia badminton. Dalam majlis persaraannya, beliau telah memberitahu rancangannya kepada pihak media untuk menjadi penganjur pertandingan sukan. Dan tentunya beliau akan memfokuskan kepada penganjuran sukan badminton sebelum menganjurkan pertandingan sukan yang lain pula.

Tidak sekadar itu, beliau telah menubuhkan akademi badminton GLY Academy di negeri kelahirannya, Melaka. Beliau juga telah membuka gelanggang badminton juga di Melaka dengan harapan dapat mencungkil lebih banyak lagi bakat sukan di Melaka.

Beliau turut melibatkan diri dalam dunia perniagaan apabila menguruskan sebuah agensi sukan iaitu Wellsport dan juga kedai menyewa gaun wanita, Tuilerie di Kuala Lumpur.

Inspirasi Wanita

Kejayaan yang dicapai oleh Liu Ying membuatkan beliau layak diidolakan oleh rakyat Malaysia terutama golongan wanita. Liu Ying membuktikan bahawa wanita juga mampu menjadi atlet yang hebat setanding dengan kaum lelaki. Beliau membuktikan andai diri terjatuh, kita masih tetap mempunyai peluang untuk bangkit berdiri megah.

CLOSE