Letshanaa Karupathevan: Masa Depan Cemerlang Dalam Dunia Badminton Solo Malaysia
Sports

Letshanaa Karupathevan: Bakal Bintang Badminton Malaysia

Letshanaa Karupathevan Blog Featured ImageLetshanaa Karupathevan Blog
475Views

Bagi mereka yang sering mengikuti perkembangan badminton tanah air, nama Letshanaa mula disebut-sebut sebagai pelapis badminton bagi perseorangan wanita negara. Bintang remaja ini dijangka akan memberikan saingan yang besar di pentas antarabangsa. Ketangkasannya bermain di gelanggang pasti mampu menggegarkan gelanggang badminton.

Karier Sukan

Pemilik nama Letshanaa Karupathevan mula mendapat perhatian peminat badminton setelah berjaya bergelar juara kebangsaan bawah 18 tahun pada tahun 2017. Ketika remaja itu baru sahaja berusia 14 tahun! Pada tahun 2018 pula, gadis ini sekali lagi mempamerkan aksi cemerlang apabila menang pingat gangsa bersama pasukan campuran di Jakarta. Pada tahun yang sama Letshanaa dalam penampilan sulung dipentas antarabangsa, remaja ini menjadi juara perseorangan wanita pada Kejohanan Antarabangsa Mauritius. Satu pencapaian yang amat membanggakan namun, pada Mac 2019 pemain Selangor yang pernah berada pada ranking 185 telah tersungkur ke kedudukan di bawah 700 akibat pandemik. Walaupun begitu, ia tetap satu pencapaian yang membanggakan bagi pemain muda sepertinya. Bukan mudah untuk mencapai ranking bawah 200 dalam masa yang belum menginjak 20 tahun.

Aksi cemerlang yang ditunjukkan selama ini telah menarik minat Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Letshanaa kemudiannya mendapat peluang menyertai BAM sebelum diserap ke dalam pasukan kebangsaan pada tahun 2020 ketika usianya baru sahaja mencecah 17 tahun. Pada tahun 2021, gadis ini telah terlibat membantu pasukan Malaysia merebut gangsa dalam Piala Sudirman.

Mengundurkan Diri Dari BAM

Akibat kecederaan belakang yang dialaminya, pada Februari 2022 Letshanaa mengambil keputusan untuk berundur dari BAM. Tapi, ini tidak bermakna remaja ini turut bersara sebagai atlet badminton. Sebaik sahaja pulih daripada kecederaan yang dialaminya, beliau tidak menunggu masa yang lama untuk berlatih bagi menyertai kejohanan seterusnya.

Letshanaa mengambil keputusan untuk bergerak sebagai pemain bebas yang tidak dinaungi oleh mana-mana pihak. Letshanaa cuma bergantung kepada pembiayaan sendiri dan juga pengumpulan dana orang ramai untuk membantunya meneruskan kerjaya sebagai atlet badminton profesional. Tidak terikat dengan mana-mana badan atau kelab badminton, Letshanaa perlu mencari sendiri jurulatih. Pada Mei 2022, gadis ini telah menjalani latihan bersama bapanya sendiri iaitu A. Karupathevan dan juga abangnya K. Jhotiswaran. Tempat latihannya pula adalah di Fly Spirit badminton Club yang terletak di Selayang.

Komitmen Untuk Bergelar Juara

Walaupun bergerak secara bebas, ini tidak bermakna Letshanaa tidak dapat memberikan aksi yang cemerlang. Bekas juara kebangsaan ini menunjukkan komitmen yang tinggi untuk menjadi atlet badminton bertaraf dunia. Letshanaa gigih berlatih supaya dapat menyertai lebih banyak kejohanan badminton. Untuk meningkatkan kembali ranking pemain muda itu perlu menyertai sekurang-kurangnya 10 kejohanan antarabangsa.

Gadis itu telah membuktikan komitmennya dalam sukan badminton di Sukan Malaysia (Sukma) apabila berjaya memenangi pingat perak. Ia tentunya satu perkembangan yang baik, memandangkan pemain itu mampu bangkit dalam tempoh lebih kurang sembilan bulan sahaja. Ternyata tempoh direhatkan selama sembilan bulan itu tidak menjejaskan prestasi pemain muda itu. Tak mahu berehat lama, gadis ini terus beraksi di Sydney International, Bendigo International di Australia dan North Harbour International Di New Zealand. Usahanya untuk memperbaiki ranking ternyata berhasil apabila dari kedudukan 520, Letshanaa berjaya melonjakkan diri ke kedudukan 257 dunia! Semua ini dilakukan dalam masa sebulan sahaja!

Aksi hebatnya tidak terhenti di situ saja. Dalam Cabaran Antarabangsa Uganda. Pemain ini telah berjaya menumpaskan pemenang pingat gangsa Kejohanan Eropah asal Turki iaitu, Neslihan Yigit. Ia tentunya bukan sesiapa yang boleh dipandang sebelah mata sahaja!

Kembali Ke BAM

Tanggal 1 Mac 2023 menjadi detik bermakna buat gadis muda itu apabila beliau diterima kembali ke pangkuan BAM. Ini semua berkat komitmen yang ditunjukkannya selama ini. Penyertaannya ke dalam BAM pasti akan melancarkan lagi impiannya untuk tersenarai dalam ranking 10 pemain terbaik dunia. Gadis ini bersama rakan-rakan pemain yang lain seperti Siti Nurshuhaini Azman, Ooi Shan Zi, Wong Ling Ching dan Tan Zhing Yi.

Letshanaa meneruskan langkah cemerlangnya apabila berjaya membantu pasukan kebangsaan memenangi pingat gangsa dalam kejohanan Piala Sudirman pada bulan Mei 2023. Kejohanan yang diadakan di Suzhou, China itu merupakan penampilan pertama Letshana di Piala Sudirman.

Satu kisah menarik untuk dikongsikan, Letshanaa sebenarnya hampir sahaja tidak dapat menyertai pasukan kebangsaan untuk beraksi di Suzhou. Ini kerana beberapa hari sebelum berlepas ke sana, Letshanaa mengalami masalah kesihatan. Namun, nampak gayanya Letshanaa memang ditakdirkan untuk menggegarkan gelanggang di sana.

Pujian

Letshanaa bukan sahaja mendapat pujian daripada negara, tetapi juga turut menerima pujian daripada pemain dan juga media luar negara. Di Indonesia, media negara jiran itu menggelarkan gadis berusia awal 20-an ini sebagai jelmaan ratu badminton mereka iaitu Susi Susansti.

Selepas menyarung pingat gangsa di Kejohanan Piala Sudirman pemain itu sempat pula menerima pujian dari pemain nombor dua dunia asal Korea Selatan iaitu An Se Young. Mendapat pujian dan nasihat daripada pemain itu tentunya sesuatu yang tak akan dapat dilupakan oleh Letshanaa. Ia telah memberikan semangat yang luar biasa buat anak kelahiran Selangor itu. Gadis itu menyifatkan pujian dari pemain nombor dua dunia itu sebagai ‘tonik’ buatnya untuk mencapai impiannya dalam dunia badminton.

Langkah Menghampiri Gelaran Juara Dunia

Julai 2023 mencatatkan satu lagi sejarah baru buat pemain badminton perseorangan ini. Dalam Kejohanan Badminton Kebangsaan Letshanaa, ketangkasan gadis ini telah membantunya untuk menewaskan rakan sepasukan BAM iaitu Wong Ling Ching. Dalam pertarungan sengit selama 66 minit itu, Letshanaa menumpaskan lawannya 16-21. 21-17, 21-19. Ini sekaligus memberikan peluang kepada gadis itu untuk merangkul juara. Lebih bermakna lagi, ini merupakan penampilan pertama Letshanaa di Kejohanan tersebut.

Kemenangan ini memberi semangat kepada gadis itu untuk terus berjuang mencapai impian menjadi pemain nombor satu Malaysia. Kemenangan ini sedikit sebanyak menjadi pembakar semangat untuk melakukan yang lebih baik lagi dalam debut pertama Jelajah Dunianya di Terbuka Korea. Selain daripada persiapan fizikal, Letshanaa turut melakukan persiapan mental agar tidak gugup semasa berada di atas gelanggang. Gugup merupakan antara salah satu musuh nombor satu para atlet kerana ia akan mengganggu fokus semasa sesi pertarungan berlangsung.

Letshanaa Karupathevan menganggap peluang beraksi dalam Terbuka Korea ini sebagai salah satu platform untuk dia menambah lebih banyak pengalaman beraksi di gelanggang. Kemudian beliau akan mempersiapkan diri untuk Terbuka Australia yang akan berlangsung pada Ogos nanti.

Perjalanan Masih Jauh

Dalam usia yang cukup muda, Letshana boleh dikatakan telah mencapai banyak kejayaan untuk dirinya sendiri dan juga untuk negara. Ranking terbaiknya dicatatkan pada 13 Jun 2023 apabila berada pada kedudukan 64 dunia. Ia merupakan satu pencapaian yang sangat hebat untuk remaja seusianya. Dengan keazaman serta komitmen yang telah ditunjukkan selama ini, tak mustahil Letshanaa bakal di ranking nombor satu dunia beberapa tahun lagi.

Semangat juang tinggi yang telah ditunjukkan oleh gadis ini boleh dijadikan inspirasi oleh remaja di luar sana dalam mencapai impian masing-masing. Dengan usaha dan keazaman yang tinggi, biar siapa pun anda, anda pasti dapat menggapai kejayaan.

CLOSE