Musuh Tradisi Dalam Badminton Malaysia
Sports

Sejarah Badminton Malaysia Perlawanan Klasik Dan Pertarungan Sengit

Sejarah Badminton Malaysia Blog Featured ImageSejarah Badminton Malaysia Blog
269Views

Sepanjang sejarah badminton Malaysia, kemuncak kegemilangan badminton Malaysia tentunya ketika era Datuk Lee Chong Wei. Ketika itu Datuk Lee Chong Wei telah banyak mengumpul pingat serta kejuaraan buat negara ini. Dalam lebih 800 perlawanan yang pernah disertainya, tentulah jaguh badminton ini telah bertarung dengan ramai juara handalan dunia. Namun perseteruan paling popular dalam sejarah, tentulah pertembungannya dengan jaguh China Lin Dan. Pertembungan di antara dua juara dunia ini dianggap sebagai pertembungan paling epik dalam sejarah badminton dunia. Bayangkan dalam 40 pertembungan Lin Dan telah mengalahkan Datuk Lee Chong Wei sebanyak 28 kali. Mereka berdua memiliki aura kehebatan masing-masing sehingga seluruh peminat badminton akan menonton dengan penuh debaran. Berikut merupakan antara kisah sejarah perlawanan klasik dan pertarungan sengit antara jaguh Malaysia dan China ini.

Kejohanan Dunia London 2011

Pada waktu ini Lin Dan sudah pun terkenal di seluruh dunia sebagai juara dunia dan pernah mengalahkan Datuk Lee Chong Wei di Sukan Olimpik 2008. Jadi kejohanan di London ini bakal menyaksikan sama ada kebanggaan Malaysia itu bakal merampas kembali maruahnya dari tangan Lin Dan. Perlawanan akhir ini boleh dikatakan sebagai antara perlawanan terhebat sepanjang zaman. Dalam perlawanan yang berlangsung selama 81 minit itu, Lin berjaya mengatasi juara Malaysia itu 20-22, 21-14, 23-21. Datuk Lee Chong Wei yang berharap untuk menjadi juara dunia Malaysia yang pertama awalnya berjaya mendahului 16-13, 20-19 dan 21-20. Sayangnya beliau tidak dapat melakukan pukulan pembunuh atau ‘killer punch’.

Sikap tidak putus asa Lin Dan menyebabkan Datuk Lee Chong Wei yang tadinya mencatat 20-16 kini ditinggalkan menjadi 22-20. Lin Dan akhirnya berjaya mendapatkan gelaran dunianya yang keempat. Sementara Datuk Lee Chong Wei pula perlu berpuas hati dengan pingat perak pertamanya di Kejuaraan Dunia ini.

Sukan Olimpik London 2012

Arena Wembley yang sebelum ini telah menjadi tuan rumah untuk Kejohanan Badminton Dunia 2011, kini sekali lagi menjadi saksi pertarungan sengit antara ‘Super Dan’ dengan Datuk Lee Chong Wei. Kali ini untuk merebut pingat emas Olimpik pula. Dalam edisi kali ini, Datuk Lee Chong Wei tentunya menggalas harapan besar negara untuk merampas kembali pingat emas Olimpik. Dalam edisi Olimpik sebelum ini iaitu pada Olimpik Beijing 2008, harapan menyarung emas tidak kesampaian setelah ditewaskan oleh tuan rumah China yang juga diwakili oleh Lin Dan.

Namun kali ini, harapan menggenggam emas kekal tinggal harapan. Lin Dan sekali lagi mengecewakan harapan atlet kesayangan Malaysia itu apabila menang 15-21, 21-10 dan 21-19. Lin Dan juga telah mencatatkan sejarah sendiri apabila menjadi atlet pertama yang berjaya mempertahankan kejuaraan Olimpik miliknya. Pada awalnya, Datuk Lee Chong Wei sebenarnya telah pun mendahului Lin Dan dengan 19-18 pada perlawanan penentuan. Sayangnya pemain Malaysia ini telah terleka dan memberikan 3 mata kepada lawannya itu. Satu jumlah mata yang agak besar.

Kekecewaan Datuk Lee Chong Wei turut dirasai rakyat Malaysia. Lagenda badminton Malaysia itu sempat memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berikutan kekalahannya itu. Walaupun kalah, kepulangan atlet itu tetap disambut sebagai seorang wira.

Kejuaraan Dunia BWF Guangzhou 2013

Ini merupakan perlawanan ketiga berturut-turut diantara dua lagenda ini di kejohanan utama dunia. Ia juga merupakan pertarungan kedua mereka di pentas Kejohanan Badminton Dunia yang berlangsung di Guangzhou. Jika sebelum ini kekalahan di tangan Lin Dan adalah kekalahan tipis, berbeza pula di kejohanan ini.

Datuk Lee Chong Wei ketinggalan 21-16, 13-21 dan 17-20. Ini disebabkan oleh masalah kekejangan yang beliau alami. Masalah ini akhirnya menyebabkan beliau terpaksa menarik diri dan sekaligus memberikan kemenangan mudah kepada seterunya itu. Lin Dan sekali lagi berjaya mempertahankan gelaran dunianya. Atlet China yang dilayangkan ‘wild card’ kontroversi sebelum perlawanan berlangsung mengakui semangat juang yang dimiliki oleh wira Malaysia itu. Datuk Lee Chong Wei masih cuba untuk berjuang biarpun dirinya di dalam kesakitan.

Penonton China yang hadir menyaksikan perlawanan bersejarah tersebut turut bersorak dan bertepuk tangan bagi memberikan semangat kepada Datuk Lee Chong Wei. Perlawanan ini terkenal kerana telah menonjolkan sisi lain dalam dunia sukan iaitu kemanusiaan. Kedua-dua atlet dan juga peminat mampu menunjukkan rasa hormat-menghormati antara satu sama lain.

Kejohanan Badminton Asia Wuhan 2016

Perlawanan ini adalah kejohanan yang diadakan semasa para atlet dunia sedang bersiap sedia untuk temasya sukan terbesar dunia iaitu Sukan Ompik Rio 2018. Kejohanan kali ini boleh diibaratkan seperti acara panas badan bagi kedua atlet ini sebelum mereka bertemu kembali di Olimpik Rio. Dalam perlawanan yang pertama, Datuk Lee Chong Wei menang dengan 22-20 walaupun pada awalnya dia ketinggalan 14-18. Dalam perlawanan kedua pula, Lin Dan berjaya mengejar dengan 21-15. Tapi, nampaknya Lin Dan tidak berada pada tahap yang terbaik ketika itu.

Jadi, atlet Malaysia ini mengambil kesempatan membelasah jaguh China itu 21-4 dalam perlawanan ketiga. Lin Dan ternyata sukar untuk mengejar rentak permainan Datuk Lee Chong Wei yang sangat baik pada hari itu. Kemenangan akhirnya berpihak kepada wira kesayangan Malaysia.

Separuh Akhir Sukan Olimpik Rio 2016

Ini merupakan pertarungan paling epik antara dua jaguh dunia. Ia merupakan pertarungan terakhir mereka di pentas Olimpik. Seluruh rakyat Malaysia, China dan juga peminat sukan badminton menumpukan perhatian mereka kepada dua orang jaguh handalan itu. Rakyat Malaysia tentunya mengharapkan wira mereka untuk menebus kembali kekalahan di Olimpik Beijing. Manakala rakyat China pula tentunya mengharapkan jaguh kebanggaan mereka untuk mempertahankan kejuaraannya.

Lin Dan berjaya memenangi perlawanan pertama 21-15. Manakala dalam perlawanan kedua pula, Datuk Lee Chong Wei berjaya mengejar 21-11. Kini perlawanan ketiga akan menjadi penentu segalanya. Kedua-dua atlet berusaha keras bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka. Datuk Lee Chong Wei berjaya mendahului 3 mata sebelum Lin Dan berjaya menyamakan kedudukan mata 20-20. Tidak mahu tewas lagi ditangan musuhnya, Datuk Lee Chong Wei mendahului 22-20.

Jaguh handalan China ini akhirnya berjaya juga dikalahkan oleh Datuk Lee Chong Wei. Kilauan emas Olimpik sudah mula terbayang dikalangan peminat sukan tanah air. Namun, nampak gayanya emas masih belum ditakdirkan menjadi milik Malaysia apabila di perlawanan akhir, atlet kesayangan Malaysia ini ditundukkan oleh rakan senegara Lin Dan iaitu Cheng Long. Walaupun hanya mendapat perak, semangat juang yang ditunjukkan oleh Datuk Lee Chong Wei tetap dipuji rakyat Malaysia. Pertembungan antara dua Super ini iaitu Super Dan dan juga Raja Super Siri telah menjadi pertembungan paling epik dalam sejarah badminton dunia. Pertembungan diantara dua atlet hebat ini turut disamakan seperti pertembungan antara dua jaguh boleh sepak dunia iaitu Lionel Messi dan juga Cristiano Ronaldo.

Kini, dua orang legenda ini telah pun menggantung raket masing-masing. Entah bila kita akan dapat menyaksikan semula pertarungan hebat antara dua ikon hebat. Mungkinkah salah seorang ikon itu adalah dari Malaysia? Tidak mustahil bukan?

CLOSE