Warisan Badminton Malaysia: Dari Datuk Lee Chong Wei Hingga Goh Liu Ying - SBO Magazine
Sports

Warisan Badminton Malaysia: Dari Datuk Lee Chong Wei Hingga Goh Liu Ying

Dari Datuk Lee Chong Wei Hingga Goh Liu Ying Blog Featured ImageDari Datuk Lee Chong Wei Hingga Goh Liu Ying Blog
534Views

Sebagai salah satu sukan yang paling popular di Malaysia, perkembangan badminton pasti sering menjadi tumpuan masyarakat negara ini. Negara ini telah banyak melahirkan lagenda hebat yang telah menggegarkan arena antarabangsa. Bermula dari era Datuk Punch Gunalan sehinggalah ke era keluarga Sidek, Malaysia telah membuktikan kepada dunia bahawa negara ini mampu melahirkan atlet berkelas A. Kejayaan Malaysia tidak terhenti di situ apabila negara ini terus-menerus melahirkan lebih ramai lagi atlet hebat. Kali ini kita akan cuma melihat legasi badminton negara bermula dari ikon badminton Malaysia iaitu Datuk Lee Chong Wei.

Datuk Lee Chong Wei

Anak jati Bukit Mertajam ini telah banyak menjuarai kejohanan badminton bertaraf dunia. Pemenang gelaran Super Series sebanyak 46 kali itu merupakan ikon badminton dan juga kebanggaan rakyat Malaysia. Datuk Lee Chong Wei boleh dikatakan atlet badminton terhebat dalam sejarah badminton Malaysia. Memegang rekod berada pada ranking teratas perseorangan lelaki selama 199 minggu berturut-turut ia tentunya bukan satu perkara yang mudah.

Selepas persaraan beliau, seluruh rakyat Malaysia tercari-cari siapakah atlet pelapis yang dapat mengulangi atau mengatasi kejayaan legenda badminton negara ini. Pastinya bukan mudah untuk meleburkan rekod yang pernah dimiliki oleh atlet kebanggaan negara itu.

Selain Datuk Lee Chong Wei, negara beruntung kerana memiliki ramai atlet pelapis yang tidak kurang hebatnya menggegarkan gelanggang antarabangsa. Antaranya ialah:

Tan Boon Heong Dan Pasangan Beregu Koo Kien Keat

Pasangan beregu lelaki negara ini pernah menduduki ranking pertama dunia pada 11 Oktober 2007. Mereka berdua juga pernah disenaraikan sebagai salah satu daripada 10 pasukan beregu lelaki terbaik dunia oleh Persatuan Badminton Dunia (BMF).

Pada peringkat awal, Tan Boon Heong sebenarnya telah digandingkan dengan Hoon Thein How. Dengan pasangan beregunya ini, Boon Heong sempat memenangi Kejohanan Remaja Dunia 2004. Manakala Kien Keat pula sebelum ini berpasangan dengan Chew Choong Eng sebelum dipasangkan dengan Chan Chong Meng. Dengan Chong Meng, Kien Keat pernah meraih gangsa di Kejohanan Dunia 2005.

Jurulatih mereka iaitu Rexy Mainaky mengambil keputusan untuk menggandingkan Boon Heong dengan Kien Keat. Ternyata keputusan jurulatih ini adalah tepat. Gandingan ini berjaya mencipta kejayaan yang memukau dengan memenangi emas di Sukan Asia Doha. Di sini mereka turut mencipta rekod tersendiri apabila menjadi pasangan beregu lelaki termuda yang memenangi emas iaitu pada usia 22 tahun dan 19 tahun.

Antara pencapaian terbaik pasangan beregu lelaki negara ini adalah menang Terbuka All England pada tahun 2007. Mereka turut memenangi kejohanan Super Series pertama mereka pada tahun yang sama. Satu lagi perkara menarik, smesy yang dilakukan Tan Boon Heong pernah dicatatkan dalam buku rekod Guinness sebagai smesy paling kencang iaitu dengan kelajuan 421 kilometer sejam! Hebatkan atlet Malaysia?

Goh Liu Ying Dan Pasangan Beregu Chan Peng Soon

Pasangan atlet ini boleh dikatakan beregu campuran terhebat yang dimiliki oleh negara. Liu Ying dan Peng Soon pernah menduduki ranking ketiga terbaik dunia dalam kategori beregu campuran. Menjadi pasangan beregu sejak tahun 2009, pasangan ini telah banyak mencipta sejarah dan kejayaan bersama.

Mereka juga pernah memenangi Kejohanan Badminton Asia pada tahun 2010. Mereka merupakan pasangan beregu campuran negara pertama yang berjaya ke peringkat separuh akhir kejohanan Terbuka All England 2012 sebelum ditewaskan kepada pasangan Indonesia Tontowi Ahmad dan Liliyana Natsir. Pada tahun yang sama juga, mereka menjadi pasangan beregu campuran negara pertama yang layak ke Sukan Olimpik.

Bersama-sama, mereka berjaya merangkul kejuaraan Super Series pertama mereka pada tahun 2012. Pada tahun 2015 pula, mereka berjaya mendapatkan pingat perak untuk negara dalam Sukan SEA yang diadakan di Singapura. Kejayaan mereka tak terhenti di situ apabila pasangan atlet ini berjaya memenangi pingat perak dalam Sukan Olimpik Musim Panas di Rio de Janeiro, Brazil pada tahun 2016. Sekali lagi mereka mencatatkan sejarah apabila menjadi pasangan beregu campuran pertama negara yang yang berjaya menyarung pingat di Olimpik.

Pada tahun 2017 pula, beregu terhebat negara ini telah berjaya menamatkan kemarau lebih 70 tahun Malaysia apabila menjadi pasangan beregu campuran pertama yang layak ke pertandingan akhir Terbuka England.

Gandingan Liu Ying dan Peng Soon dianggap sebagai gandingan campuran terbaik yang pernah dimiliki oleh negara. Untuk Peng Soon sendiri, walaupun dia pernah bergandingan dengan atlet-atlet lain seperti Lai Pei Jing, Peck Yen Wei, Cheah Yee See dan Veleree Siow, dia mengakui tidak dapat mencipta magis yang sama seperti yang telah dilakukannya dengan Liu Ying.

Lee Zii Jia

Atlet yang berasal dari Alor Setar, Kedah ini sering disebut-sebut sebagai pengganti ikon badminton Malaysia, Datuk Lee Chong Wei. Zii Jia menjadi harapan negara untuk menjadi pelapis Datuk Lee Chong Wei dalam kategori perseorangan lelaki.

Atlet muda ini mula mula menyertai skuad kebangsaan sejak tahun 2010 lagi. Pada tahun 2018, Zii Jia telah berjaya memenangi gelaran Jelajah Dunia BMF pertamanya apabila menewaskan Riichi Takeshita. Ini telah menjadikan beliau sebagai rakyat Malaysia kedua yang memenangi gelaran perseorangan lelaki BMF itu selain Datuk Lee Chong Wei.

Kejayaannya tidak terhenti di situ apabila berjaya berjaya memenangi emas dalam Sukan SEA Filipina 2019 dan juga Kejohanan Badminton Asia 2022. Pada tahun 2021, Zii Jia berjaya menumpaskan Viktor Axelsen sekaligus memberikan atlet ini peluang menjadi juara Kejohanan All England. Kali terakhir Malaysia memenangi kejuaraan tersebut adalah pada tahun 2017. Malaysia ketika itu diwakili oleh Datuk Lee Chong Wei. Nampak gayanya Zii Jia memang berpotensi menjadi penerus legasi ikon sukan badminton Malaysia bukan?

Buat masa ini, ranking terbaik yang pernah dipegang Zii Jia adalah pemain nombor dua dunia pada 25 Oktober 2022. Walaupun kini beliau berada pada tangga ke-17 dunia, tidak mustahil dengan usaha keras dan latihan yang berterusan, atlet muda ini bakal bergelar juara dunia satu hari nanti!

Legasi Juara Dunia

Sejak mula melibatkan diri secara aktif menyertai kejohanan antarabangsa, negara ini telah banyak melahirkan jaguh badminton bertaraf dunia. Bermula dengan nama-nama legenda seperti Datuk Punch Gunalan, Dato’ Ng Boon Bee, Datuk Tan Aik Huang, Malaysia telah mula menjadi sebutan di peringkat antarabangsa.

Atlet-atlet dari negara ini mula mendapat perhatian dunia. Yang dikongsikan di sini cuma sebahagian sahaja daripada ramai lagi atlet hebat negara. Dengan komitmen yang ditunjukkan oleh BAM untuk mencungkil bakat-bakat baru badminton, tak mustahil negara ini boleh menjadi kilang menghasilkan pemain-pemain bertaraf dunia setanding dengan seteru utama negara iaitu China

CLOSE