Chen Tang Jie - Toh Ee Wei: Pasangan Beregu Campuran Dinamik Negara
Sports

Chen Tang Jie – Toh Ee Wei: Dua Bersaudara Beregu Campuran Malaysia

Chen Tang Jie Blog Featured ImageChen Tang Jie Blog
346Views

Bagi mereka yang sering mengikuti perkembangan sukan badminton Malaysia, nama Chen Tang Jie dan juga Toh Ee Wei tentunya tidak perlu diperkenalkan lagi. Pasangan beregu campuran negara ini sedang meniti kegemilangan dalam arena sukan badminton dunia. Gandingan mantap dua orang atlet berbakat ini dijangka bakal memberikan saingan hebat di gelanggang antarabangsa. Mereka berdua merupakan pasangan beregu campuran negara yang berpotensi untuk digilap dan mengulangi zaman kegemilangan legenda beregu campuran negara iaitu Goh Liu Ying dan Chan Peng Soon. Ini kerana dari awal kemunculan mereka di gelanggang antarabangsa, mereka berdua telah pun menunjukkan potensi bahawa mereka berdua bakal menjadi atlet negara yang hebat.

Biodata

Chen Tang Jie dilahirkan pada 5 Januari 1998. Atlet yang berasal dari Ipoh, Perak ini merupakan sebahagian pasukan Kejohanan Remaja Asia 2016 dan juga pasukan Kejohanan Remaja Dunia BWF 2016. Dalam Kejohanan Tang Jie telah berjaya membantu negara meraih perak dalam kategori pasukan campuran sebelum dikalahkan oleh beregu dari China.

Toh Ee Wei pula dilahirkan pada 18 September 2000 dan merupakan anak jati Melaka. Pada tahun 2016, Ee Wei berjaya menyarung pingat gangsa dalam Kejohanan Remaja Dunia bagi acara beregu campuran. Atlet muda ini pernah memenangi pingat perak bagi acara beregu wanita dalam Kejohanan Remaja Asia dan juga Kejohanan Remaja Dunia 2018.

Gangster Duo

Gandingan mantap dua orang atlet ini telah mencipta magis tersendiri. Kejayaan demi kejayaan berjaya mereka raih. Bayangkan, dalam tempoh beberapa bulan sahaja duo ini telah berjaya menaikkan ranking mereka ke tangga 15 dunia! Satu pencapaian yang sangat membanggakan bukan?

Dalam Kejohanan Terbuka Taiwan 2023, mereka berdua telah berjaya menamatkan penantian 19 tahun negara untuk bergelar juara. Kali terakhir Malaysia berjaya memenangi gelaran Terbuka Taiwan adalah melalui gandingan Koo Kien Keat dan Wong Pei Tty pada tahun 2004. Pasangan beregu yang diletakkan sebagai pilihan keempat ini telah berjaya menumpaskan pasangan tuan rumah iaitu Chiu Hsiang-Lin Xiao Min dalam masa hanya 30 minit. Beregu negara menang 21-12 dan 21-8. Sebelum itu, pasangan beregu yang sering mewarnakan rambut mereka dengan warna yang sama ini juga telah memenangi 3 iaitu di Kejohanan Antarabangsa Bangladesh, Cabaran Anarabangsa Iran dan juga Kejohanan Masters Orleans, Perancis. Kejayaan demi kejayaan ini telah membuatkan nama mereka mula digeruni di gelanggang dunia sehinggakan ada yang menggelarkan pasangan ini sebagai ‘gangster duo’.

Bukan Perjalanan Mudah

Meniti zaman kegemilangan bersama Tang Jie, Ee Wei sebenarnya mempunyai kisah duka yang tersendiri. Dia sebenarnya hampir berputus asa untuk menjadi seorang atlet badminton negara apabila disahkan mengalami kecederaan ‘Bone Tuberculosis’ yang membabitkan tulang belakangnya. Keadaan ini membuatkan anak kelahiran Melaka ini menghadapi kesukaran setiap kali sesi latihan dan perlu menjalani sesi pemulihan bagi menguatkan badannya. Beliau hanya mampu melihat rakan-rakan atlet yang lain melakukan latihan, sedangkan beliau tidak dapat menyertai mereka.

Namun begitu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) serta presidennya Tan Sri Mohamad Norza Zakaria tetap percaya bahawa atlet muda ini bakal menjadi atlet yang hebat. Melihat kepada kejayaan yang sedang dikecapinya sekarang, ternyata kesabaran Ee Wei dan juga semua pihak yang percaya kepadanya membuahkan hasil. Jika Ee Wei menurut kata hatinya untuk berhenti, pastinya dia tidak dapat merasai kemanisan ini.

Mula Diintai Lawan

Kehebatan yang ditunjukkan sejak di Kejohanan Masters Orleans telah membuatkan pesaing-pesaing mereka mula mengkaji corak permainan mereka berdua. Ini membuktikan bahawa pemain-pemain dunia telah mula mengakui kehebatan anak Malaysia ini. Tang Jie dan Ee Wei telah mula digeruni atlet dunia! Dalam kejohanan tersebut, pasangan ini telah berjaya menewaskan wakil dari Taiwan iaitu Ye Hong Wei dan Lee Chia Hsin dengan kemenangan 21-19, 21-17. Permainan berjaya ditamatkan dalam masa 35 minit. Ini tentunya telah membuka mata pemain-pemain dunia yang lain untuk mula menumpukan perhatian mereka kepada pasangan beregu Malaysia ini.

Adakah ini membuatkan gandingan ini berpuas hati atau mungkin juga takut? Jawapannya tentulah tidak. Perjalanan mereka masih panjang lagi. Setiap kali berada di gelanggang mereka tetap perlu fokus untuk memberikan persembahan terbaik untuk negara. Apa yang penting adalah mereka perlu sentiasa fokus dalam latihan untuk mengekalkan prestasi yang konsisten.

Misi Sukan Olimpik Paris 2024

Bukan mudah untuk melepaskan diri untuk layak bertanding di gelanggang Olimpik. Temasya sukan itu akan mengumpulkan atlet-atlet terbaik daripada yang terbaik. Pasangan atlet ini juga turut berharap bakal terpilih untuk mewakili negara di temasya sukan terbesar dunia itu. Oleh itu, pasti banyak dugaan serta cabaran yang perlu ditempuh untuk berjaya meloloskan diri bagi memastikan diri berada di gelanggang hebat tersebut. Jadi, fokus duo ini adalah untuk memastikan agar mereka dapat mempersiapkan diri untuk lepas ke kelayakan Olimpik.

Usaha yang mereka lakukan sekarang selain daripada sesi latihan bersama jurulatih hebat Nova Widianto, mereka perlu memastikan prestasi mereka kekal konsisten dalam setiap perlawanan yang mereka sertai. Jika prestasi ini berjaya dikekalkan atau ditingkatkan lagi, tidak mustahil impian untuk ke Olimpik Paris pasti akan tercapai. Mungkin juga mereka bakal mengulangi kejayaan lagenda beregu campuran negara, Chan Peng Soon – Goh Liu Ying. Siapa tahu bukan? Sekarang ini pun Tang Jie dan Ee Wei telah berada di tangga kedua beregu campuran terbaik negara. Iaitu di belakang pasangan profesional, Goh Soon Huat dan Shevon Lai Jamie yang menduduki ranking nombor lapan terbaik dunia. Jadi, impian ke Olimpik bukanlah sesuatu yang mustahil.

Duo Harapan Negara

Ternyata keputusan Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan Rexy Mainaky untuk memadankan kedua-dua atlet ini adalah satu keputusan yang sangat tepat. Sebelum ini Tang Jie yang berpasangan dengan Peck Yen Wei, dan Ee Wei yang bergandingan dengan Hoo Pang Ron masing-masing tetap menunjukkan prestasi yang baik. Ternyata padanan Tang Jie-Ee Wei memberikan magis yang lebih ampuh di gelanggang. Sebenarnya kejayaan yang sedang dikecapi oleh pasangan beregu ini bukanlah hanya berbekalkan bakat serta usaha mereka berdua semata-mata. Tetapi ia juga adalah hasil dorongan keluarga, rakan sepasukan dan juga teman-teman rapat. Tidak dilupakan juga peranan jurulatih dan juga dalam merangka strategi dan juga menjamin kebajikan atlet.

Perjalanan beregu campuran muda ini masih lagi panjang. Kedua-orang orang atlet muda ini pastinya akan menjadi harapan baru negara untuk menaikkan nama Malaysia dalam dunia badminton. Moga-moga mereka berdua dapat menghadiahkan lebih banyak pingat dan gelaran buat negara di masa akan datang.

CLOSE