Pasukan Badminton Kebangsaan: Skuad Terkini, Ranking Dan Prospek Masa Depan
Sports

Pasukan Badminton Kebangsaan: Senarai Pasukan Terkini, Ranking Dan Prospek Masa Depan

Pasukan Badminton Kebangsaan Blog Featured ImagePasukan Badminton Kebangsaan Blog
574Views

Umum tahu bahawa sukan badminton merupakan antara sukan yang paling diminati oleh rakyat negara ini selain daripada sukan bola sepak. Telah banyak modal yang dihabiskan untuk membangunkan sukan itu di negara ini sehingga negara kita menjadi antara kuasa badminton yang hebat bukan sahaja di Asia tetapi juga di dunia. Oleh itu setiap perubahan atau perkembangan yang melibatkan sukan itu tentunya akan mendapat pelbagai reaksi daripada semua peminat yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Malaysia giat menjalankan usaha mencungkil bakat-bakat bagi memastikan negara tidak pernah putus dengan atlet pelapis yang bakal menggegarkan gelanggang badminton dunia.

Skuad Muda

Kini Malaysia memberi tumpuan untuk mengetengahkan pemain-pemain muda berbakat besar di pentas antarabangsa. Atlet-atlet muda yang dicungkil bakat mereka daripada pelbagai kem dan juga pertandingan ini diberikan peluang oleh badan induk badminton negara iaitu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menyertai pertandingan-pertandingan penting bertaraf dunia.

Kenapa pula perlu menghantar atlet-atlet yang masih hijau untuk menyertai kejohanan antarabangsa? Bukankah ia bakal memberikan risiko kepada negara? Lagipun pemain-pemain muda ini pastinya kekurangan pengalaman untuk beraksi dengan cemerlang di gelanggang dunia.

Sebenarnya bukanlah sesuatu yang pelik untuk menampilkan pemain-pemain muda dalam kejohanan-kejohanan besar. Ini bagi memberikan peluang kepada pemain-pemain muda ini untuk mencari pengalaman disamping meningkatkan ranking mereka lebih awal. Selain itu, kemunculan pemain-pemain muda penting bagi melihat potensi sebenar yang dimiliki oleh pemain-pemain ini apabila mereka beraksi di atas gelanggang.

Mereka yang terlibat dalam pasukan badminton kebangsaan bukanlah calang-calang atlet. Ada diantara mereka yang berada dalam ranking teratas dunia. Nama seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yick yang merupakan pasangan beregu lelaki negara kini berada dalam ranking ke-4 dunia. Mereka juga pernah berada pada ranking ke-2 dunia pada awal tahun 2023.

Untuk perseorangan lelaki, kita mempunyai Ng Tze Yong yang kni berada dalam ranking 22 terbaik dunia. Manakala untuk kategori perseorangan wanita pula, kita mempunyai Letshanaa Karupathevan atau lebih dikenali sebagai K. Letshanaa yang tidak kurang hebatnya.

Sementara pasangan beregu wanita M. Thinaah-Pearly Tan juga tidak kurang hebatnya apabila mampu berada pada ranking ke-5 dunia awal tahun ini sebelum merosot ke tangga ke-8. Walaupun ranking mereka sedikit merosot, tetapi itu tidak bermakna bahawa kedua-dua orang atlet ini sudah hilang bisanya. Mereka berdua masih lagi menunjukkan tahap permainan yang terbaik dalam setiap perlawanan yang mereka sertai.

Bagi pasukan beregu campuran pula, pasukan kebanggsaan nampak gayanya sudah mempunyai pelapis yang bakal mencipta kejayaan hebat seperti lagenda beregu campuran negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying. Gandingan mantap antara Toh Ee Wei dan Chen Tang Jie berjaya membuatkan duo ini mula digeruni saingan mereka. Dalam tempoh hanya beberapa bulan beraksi bersama, gandingan ini telah berjaya memenangi beberapa kejuaraan serta gelaran antarabangsa. Paling menarik apabila kini mereka berada pada ranking ke-14 dunia!

Ranking Melonjak

Kekuatan pasukan badminton kebangsaan bukanlah sekadar cakap-cakap kosong sahaja. Hal ini dibuktikan apabila Malaysia kini menduduki tangga keempat dalam ranking sukan badminton. Malaysia telah menjaya menaiki satu anak tangga berbanding dengan tahun lepas.

Kini di belakang China, Jepun dan juga Indonesia. Ia tentunya satu perkembangan yang sangat positif buat pasukan negara. Bukan mudah untuk berada di tangga teratas dunia dalam satu-satu cabang sukan. Beberapa tahun sebelum ini Malaysia hanya menduduki tangga kelapan dan sembilan sahaja.

Namun, tentunya skuad negara tidak terus berlapang dada dengan peningkatan ranking ini. Masih banyak yang perlu dilakukan dan diperbaiki agar kita mampu berada di tangga tiga teratas. Tumpuan utama tentunya untuk mengalahkan jaguh dunia sekarang iaitu China.

Selain nama-nama yang disebutkan di atas, skuad kebangsaan turut dibarisi dengan atlet-atlet lain yang sedang meningkat naik dan berpotensi untuk menaikkan nama negara di peringkat antarabangsa. Dibantu dengan barisan jurulatih hebat yang pernah memenangi kejuaraan dan juga gelaran dunia, Malaysia berada di landasan yang tepat untuk menaiki puncak kejayaan.

Gabungan Pemain Profesional Dan Pemain Kebangsaan

Malaysia bertuah kerana mempunyai banyak bakat-bakat besar yang boleh diketengahkan sebagai pelapis badminton negara. Ada yang bermain untuk pasukan kebangsaan dan ada pula yang bermain sebagai pemain profesional. Biar pun begitu, matlamat mereka tentunya sama, iaitu untuk menang dan mengharumkan nama Malaysia.

Pemain profesional ini kebanyakannya adalah merupakan bekas pemain yang pernah berada di bawah naungan badan induk badminton negara iaitu Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Atlet-atlet ini mengambil keputusan untuk keluar dari BAM atas sebab-sebab tertentu seperti perselisihan pendapat, masalah kesihatan, mahukan lebih kebebasan dan pelbagai alasan lagi.

Biar apa pun alasan mereka, pemain profesional masih diberikan peluang untuk menyertai pelbagai pertandingan di peringkat antarabangsa cuma mereka mendapatkan persetujuan daripada pihak BAM sebelum bertanding di mana-mana kejohanan antarabangsa. Ini tentunya bukan sesuatu yang menggembirakan hati para atlet profesional atau bebas.

Tambahan pula, negara sebelum ini pernah digemparkan dengan berita penggantungan atlet harapan negara, Lee Zhi Jia selama dua tahun daripada menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa. Tindakan yang sama turut dikenakan kepada Goh Jin Wei. Semuanya kerana keputusan mereka untuk meninggalkan BAM. Hukuman ini tentunya mendapat pelbagai reaksi negatif daripada peminat sukan dan juga rakan pemain yang lain.

Namun baru-baru ini, kemelut di antara badan induk badminton Malaysia itu dengan pemain badminton bebas negara seakan-akan membuka lembaran baru dalam perkembangan sukan bulu tangkis itu. Satu kerjasama telah terjalin di antara pemain profesional dengan pemain kebangsaan. BAM telah mengambil keputusan memberikan peluang kepada pemain profesional untuk diserap ke dalam pasukan kebangsaan untuk menyertai temasya sukan berprestij seperti Piala Sudirman, Piala Thomas, Sukan SEA, Sukan Asia dan juga Sukan Olimpik.

Kerjasama yang diberikan di dalam kejohanan besar seperti Piala Sudirman 2023 telah membuktikan pemain kebangsaan dan juga pemain profesional mampu bermain di bawah satu payung yang sama iaitu payung Malaysia. Dalam kejohanan tersebut, skuad gabungan ini telah berjaya membawa pulang gangsa buat negara.

Walaupun kalah kepada Korea Selatan, namun secara keseluruhannya Malaysia telah menunjukkan prestasi dan komitmen yang positif. Jika kerjasama ini berjaya diteruskan, Malaysia tentunya dapat mengekalkan prestasinya di pentas antarabangsa.

Masa Depan

Sukan badminton Malaysia telah banyak merasai suka dan duka di peringkat antarabangsa. Daripada satu nama yang tidak dikenali, dunia akhirnya mula mengenali nama Malaysia. Semuanya hasil jasa pemain-pemain badminton yang telah banyak menyumbangkan pingat, gelaran dan juga piala buat negara.

Kerja keras yang dilakukan selama ini oleh BAM dan para atlet sendiri telah membuahkan hasil apabila Malaysia berada dalam senarai lima teratas dunia dalam sukan ini. Namun, atlet Malaysia perlu berusaha lebih keras lagi supaya kita dapat berada setaraf dengan seteru utama iaitu China.

CLOSE