Menelusuri Sejarah Kebangkitan Dan Kejayaan Badminton Malaysia
Sports

Melihat Kembali Sejarah Kebangkitan Dan Kemenangan Badminton Malaysia

Sejarah Kebangkitan Dan Kemenangan Badminton Malaysia Blog Featured ImageSejarah Kebangkitan Dan Kemenangan Badminton Malaysia blog
309Views

Sukan badminton merupakan salah satu sukan paling popular di Malaysia selain daripada sukan bola sepak. Badminton boleh dikatakan antara sukan yang paling banyak mengharumkan nama Malaysia di mata dunia. Tidak keterlaluan sekiranya dikatakan bahawa pemain badminton Malaysia adalah antara yang paling digeruni di gelanggang badminton dunia. Setiap kali pemain Malaysia bertanding di peringkat akhir mana-mana kejohanan bertaraf dunia, jutaan peminat pasti akan terpaku di kaca televisyen untuk menantikan adakah pemain negara bakal bergelar juara.

Sejarah Badminton Malaysia

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ditubuhkan pada tahun 1934. Ini bermakna sukan ini telah lama bertapak lebih 100 tahun di negara ini. Pada masa yang sama sukan ini terus berkembang ke serata dunia sehingga menjadi antara acara rasmi dalam Sukan Olimpik pada tahun 1992. Di bawah pemantauan dan bimbingan BAM, ramai atlet bertaraf dunia telah dilahirkan di negara ini. Ramai atlet kelahiran BAM telah berjaya menyandang kejuaraan utama badminton antarabangsa seperti All England dan Piala Thomas. Selepas sukan ini diperkenalkan di negara ini, Malaysia tidak menunggu tempoh yang terlalu lama untuk menggegarkan gelanggang dunia. Sekitar tahun 1950-an sehingga 1960-an, pemain pemain seperti Wong Peng Soon dan Eddy Choong telah pun membawa pulang pelbagai gelaran dan juga pingat buat negara.

Wong Peng Soon merupakan orang Asia pertama yang berjaya menjuarai kejohanan All England. Manakala Eddy Choong pula dikagumi ‘smesy jump’ yang dilakukan. Kehebatan kedua-dua atlet ini dan juga rakan-rakan seperjuangan yang lain telah memberikan reputasi yang baik di arena antarabangsa. Malaysia sudah mula digeruni sebagai salah satu negara yang hebat dalam sukan badminton. Badan induk badminton Malaysia ini telah banyak membantu melahirkan ramai atlet bertaraf dunia. Badan ini berperanan penting dalam soal promosi dan penganjuran aktiviti badminton di negara ini. Ia telah bertindak sebagai satu platform kepada pemain badminton Malaysia mengembangkan lagi bakat dan juga potensi mereka.

Nama-nama seperti Datuk Punch Gunalan, Dato’ Ng Boon Bee, Tan Aik Mong, Datuk Tan Aik Huang, merupakan antara legenda badminton terawal yang muncul dan memberikan saingan yang hebat buat pemain-pemain luar. Malaysia terus menguatkan namanya di gelanggang badminton dunia.

Adik-Beradik Sidek Puncak Kegemilangan

Siapa tak kenal dengan adik-beradik Sidek? Adik-beradik yang terdiri daripada lima orang ini merupakan antara nama-nama penting dalam sukan badminton Malaysia. Kemunculan Misbun, Razif, Jalani, Rahman dan Rashid dalam arena sukan badminton telah menjadi titik tolak dalam perkembangan badminton negara. Tidak keterlaluan sekiranya dikatakan bahawa kebangkitan mereka berlima di dalam gelanggang sekitar 1980-an telah membawa perubahan yang besar dalam sukan badminton negara ini. Kejayaan lima beradik ini telah menarik minat Kumpulan Pengurusan Antarabangsa (IMG) untuk meneroka bidang badminton di Malaysia.

Antara detik paling bermakna dan tidak dapat dilupakan oleh seluruh rakyat Malaysia adalah ketika Rashid berjaya menjulang Piala Thomas kembali ke bumi Malaysia. Sekaligus menamatkan kemarau suku abad negara. Bermula dari era itulah sukan badminton semakin diminati oleh segenap lapisan masyarakat di negara ini.

Perjalanan Olimpik

Sukan Olimpik merupakan satu temasya sukan terbesar dunia yang sering dinanti-nantikan. Setiap negara mahu menunjukkan kehebatan mereka dalam pelbagai jenis bidang sukan. Malaysia tidak terkecuali mendambakan pingat dalam sukan ini. Antara sukan yang diharapkan dapat memberi pingat kepada negara, tentulah badminton. Seperti yang telah dinyatakan di atas, sukan badminton telah dipertandingkan secara rasmi dalam Sukan Olimpik bermula pada tahun 1992. Dalam temasya sukan yang menghimpunkan atlet-atlet terhebat dari seluruh dunia, tentulah bukan sesuatu yang mudah untuk para atlet meragut emas.

Datuk Rashid Sidek menjadi pemain badminton perseorangan pertama negara yang berjaya merangkul pingat gangsa di Sukan Olimpik edisi Atlanta 1996. Beregu lelaki Malaysia pula yang diwakili oleh Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock pula menyumbang perak untuk negara.

Di Olimpik Beijing 2008, Datuk Lee Chong Wei berjaya mendapat pingat Olimpik pertamanya. Biarpun kalah di tangan juara China Lin Dan, namun kita masih bersyukur kerana berjaya merangkul perak. Dalam Olimpik edisi berikutnya di London pada 2012, Malaysia sekali lagi terpaksa berpuas hati dengan pingat perak yang juga disumbangkan oleh Datuk Lee Chong Wei.

Dalam edisi Rio de Janeiro 2016 pula, skuad badminton negara memberikan pencapaian yang lebih baik apabila berjaya menghadiahkan 3 butir perak buat negara menerusi perseorangan lelaki yang diwakili Datuk Lee Chong Wei, beregu campuran diwakili oleh Goh Liu Ying dan Chan Peng Soon serta beregu lelaki Goh V Shem dan Tan Wee Kiong.

Olimpik Tokyo 2020 pula, badminton hanya menyumbang sebutir gangsa melalui beregu lelaki Aaron Chia dan Soh Wooi Yik. Malaysia tidak pernah berputus asa untuk mengejar emas Olimpik. Mungkinkah kita akan dapat melihat kilauan emas bagi edisi Paris?

Datuk Lee Chong Wei, Hero Negara

Semangat perjuangan badminton Malaysia diteruskan lagi oleh pemain-pemain muda kategori perseorangan lelaki seperti Muhammad Roslin Hashim, Muhammad Hafiz Hashim, sehinggalah kepada lagenda Datuk Lee Chong Wei. Ketiga-tiga nama ini pernah memegang ranking lima ke atas oleh BMF.

Datuk Lee Chong Wei tentunya menjadi nama yang paling diingati kerana kejayaannya yang luar biasa dalam kategori perseorangan lelaki. Kejayaan yang dicatatkan oleh anak jati Bukit Mertajam ini belum pernah dicapai oleh mana-mana atlet sehingga saat ini.

Pencapaian paling membanggakan Malaysia saat ini tentulah kejayaan yang telah dicapai oleh badminton, Datuk Lee Chong Wei. Bayangkan, juara dunia telah berjaya bertahan memegang ranking nombor 1 dunia selama 329 minggu! Ia tentunya satu pencapaian yang sangat luar biasa. Tidak hanya itu, beliau juga merupakan pemain yang paling banyak memenangi gelaran Super Series. Walaupun tidak pernah memenangi emas di Sukan Olimpik, namun komitmen yang ditunjukkan sudah cukup membuktikan legenda ini telah berada dalam kelasnya yang tersendiri dalam dunia badminton. Pemain nombor satu dunia saat ini iaitu Viktor Axelsen dari Denmark turut menjadikan Datuk Lee Chong Wei sebagai sumber inspirasinya untuk berjaya dalam sukan ini.

Legasi Diteruskan

Walaupun Datuk Lee Chong Wei telah pun bersara, namun legasi badmintonnya tetap terus berjalan. Negara ini masih lagi mempunyai ramai pemain-pemain hebat yang dijangkakan mampu untuk membanggakan negara seperti Lee Zii Jia, Aaron Chia, Ng Tze Yong dan ramai lagi.

Malaysia juga masih komited dalam usaha membangunkan lagi sukan bulu tangkis di peringkat akar umbi. Pelbagai program telah dilakukan dalam usaha mencari dan menggilap bakat badminton baru buat negara. Dengan usaha yang dilakukan, tak mustahil satu hari nanti, Malaysia boleh memecahkan dominasi China dalam sukan ini.

CLOSE