Profil Ikon Legenda Badminton Malaysia Dulu Dan Sekarang
Sports

Perkembangan Ikon Legenda Badminton Malaysia: Dulu Dan Kini

Profil Ikon Legenda Badminton Malaysia Dulu Dan Sekarang Blog FEatured ImageProfil Ikon Legenda Badminton Malaysia Dulu Dan Sekarang Blog
343Views

Sepanjang penyertaan Malaysia di gelanggang badminton antarabangsa, negara ini telah menyaksikan kelahiran ramai atlet-atlet berbakat yang bertaraf dunia. Pemain-pemain badminton Malaysia telah banyak mengharumkan nama Malaysia di persada dunia. Kehebatan mereka ini dapat dilihat melalui pungutan pingat, gelaran dan juga ranking dunia yang mereka berjaya rebut. Nama-nama seperti Datuk Punch Gunalan, Datuk Rashid Sidek, Datuk Lee Chong Wei dan ramai lagi akan sentiasa diingati oleh rakyat Malaysia terutamanya peminat sukan bulu tangkis sebagai hero sukan negara. Kali ini, kita akan mengenali beberapa ikon lagenda badminton Malaysia, dahulu dan kini yang telah banyak menaikkan nama negara di pentas sukan.

Datuk Punch Gunalan

Datuk Punch Gunalan merupakan satu nama besar dalam sukan badminton negara. Legenda ini bukan sahaja hebat di atas gelanggang, tetapi turut aktif d dalam bidang kejurulatihan dan juga pentadbiran yang melibatkan sukan badminton. Semasa zaman atletnya, Datuk Punch Gunalan bermain untuk perseorangan lelaki dan juga beregu lelaki. Pasangan beregunya ialah Datuk Ng Boon Bee.

Datuk Punch pernah menyumbang pingat emas dalam Sukan Asia 1970, Sukan Komanwel 1970 dan 1974, Sukan SEA edisi 1969, 1971 dan 1973 dan Sukan Badminton Asia 1969. Dalam Kejohanan All England 1971, Datuk Punch dan juga beregunya Datuk Ng Boon Bee telah berjaya memenangi kategori beregu lelaki. Ini telah menjadikan ikon badminton ini sebagai antara pemain perseorangan dan beregu lelaki terbaik dunia ketika itu.

Datuk Rashid Sidek

Selain adik-beradik Sidek yang lain, nama Rashid Sidek merupakan salah satu nama yang tidak asing lagi dalam dunia badminton Malaysia. Beliau merupakan anak bongsu dari pasangan Dato’ Haji Mohd. Sidek dan Datin Rukinah. Dilahirkan pada 8 Julai 1968 ini memulakan kerjaya atletnya sebaik sahaja tamat persekolahan menengahnya. Beliau telah berjaya memenangi Kejohanan Terbuka Malaysia dalam kategori perseorangan lelaki selama 3 tahun berturut-turut iaitu bermula tahun 1990 hingga 1992. Selain itu beliau turut menjadi merangkul kejuaraan antarabangsa di Sukan SEA, Piala Asia dan juga Sukan Komanwel. Beliau juga telah membanggakan negara apabila memenangi Piala Thomas 1992. Sekaligus menamatkan penantian 25 tahun Malaysia. Beliau sekali lagi membanggakan negara apabila berjaya menyumbangkan pingat gangsa di Sukan Olimpik Atlanta 1996. Pada tahun berikutnya beliau telah menaikkan lagi nama Malaysia di persada antarabangsa apabila berjaya menduduki ranking pertama pemain badminton terbaik dunia.

Jaguh ini kemudiannya mengambil keputusan untuk bersara awal dan mengikut jejak langkah abang-abangnya menjadi jurulatih sukan badminton. Beliau pernah menabur bakti menjadi jurulatih perseorangan kebangsaan bermula tahun 2003 hingga tahun 2015.

Datuk Lee Chong Wei

Jika berbicara tentang soal badminton Malaysia, tentulah tidak lengkap sekiranya tidak menyebutkan nama ikon sukan kebangsaan ini. Datuk Lee Chong Wei telah banyak mengharumkan nama negara dalam arena sukan badminton dunia. Pemegang rekod ranking nombor satu dunia selama 199 minggu berturut-turut ini bukan sembarangan atlet. Sepanjang karier beliau sebagai pemain badminton, beliau telah mencatatkan 713 kemenangan daripada 851 perlawanan yang telah disertainya. Beliau juga telah digelar Raja Super Series kerana telah berjaya meraih 69 gelaran dalam kejohanan Super Series yang disertainya.

Beliau juga telah menghadiahkan 3 pingat perak kepada Malaysia dalam 3 edisi Sukan Olimpik. Walaupun tidak sempat menghadiahkan pingat emas buat negara, tetapi ini tetap menjadikan beliau atlet terbaik Malaysia dalam Sukan Olimpik. Selepas 19 tahun memerah keringat buat negara, pada tahun 2019, atlet terbaik negara ini mengambil keputusan untuk bersara. Penyakit kanser hidung yang dialaminya tidak memungkinkan beliau untuk menjalani latihan keras sebagai atlet. Berita tentang persaraannya tentunya mendapat reaksi sedih daripada peminat sukan bulu tangkis ini. Pemain ini bukan saja menjadi sumber inspirasi atlet badminton tanah air, tetapi juga menjadi idola atlet antarabangsa.

Lee Zii Jia

Setelah persaraan Datuk Lee Chong Wei, mata seluruh rakyat Malaysia mula tertumpu kepada pemain muda kelahiran negeri Kedah ini telah lama disebut-sebut sebagai pengganti veteran badminton negara Datuk Lee Chong. Dilahirkan pada 29 Mac 1998, sudah mula berjinak-jinak dengan sukan badminton sejak berumur 6 tahun. Beliau telah menunjukkan aksi yang cemerlang dalam pertandingan bawah 12 tahun, sebelum bermain secara profesional pada usia 13 tahun. Kecemerlangannya dalam bidang sukan telah berjaya membuatkan dia diterima masuk ke Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Zii Jia mula menyertai BAM setelah beliau berjaya memenangi Kejohanan Badminton Terbuka Remaja pada tahun 2015. Pada tahun 2016 pula, beliau berjaya mendapat gangsa dalam Kejohanan Badminton Remaja setelah tewas kepada pemain Indonesia Chico Aura Dwi Wardoyo. Beliau telah berjaya memenangi pingat emas dalam Sukan SEA Filipina 2019 untuk kategori perseorangan lelaki dan memungut perak untuk kategori lelaki berpasukan. Pada 21 Mac 2021, Zii Jia berjaya memenangi Kejohanan All England Pertamanya setelah menewaskan Viktor Axelsen.

Pada Januari 2022, Zii Jia mengejutkan peminat badminton tanah air apabila mengumumkan untuk keluar daripada BAM dan bergerak sebagai atlet bebas. Keputusan ini telah membuatkan beliau digantung dua tahun daripada menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa yang memerlukan kelulusan BAM dan juga mana-mana kejohanan yang dibenarkan Persatuan Badminton Dunia (BWF). Larangan ini kemudian diangkat balik selepas menerima kritikan dan reaksi negatif daripada orang ramai dan juga pemain badminton antarabangsa.

Pada Mei tahun yang sama, pemain ini memenangi gelaran pertamanya di Kejuaraan Badminton Asia yang telah diadakan di Manila. Beliau merupakan pemain keseorangan lelaki Malaysia keenam yang berjaya memenangi gelaran ini. Pada 22 Mei pula, beliau telah berjaya memenangi kejohanan Super 500 Jelajah Dunia BWF pertamanya di Terbuka Thailand. Ranking terbaik beliau adalah nombor dua dunia pada 25 Oktober 2022.

Ng Tze Yong

Atlet muda yang berasal dari Johor ini juga sedang meningkat naik dan disebut-sebut sebagai pengganti Datuk Lee Chong Wei. Dilahirkan pada 16 Mei 2000, Tze Yong telah mula menunjukkan minat terhadap sukan ini sejak berusia empat tahun setelah menonton perlawanan badminton tempatan. Beliau merupakan salah seorang atlet badminton yang berjaya mendapatkan perak bersama pasukan campuran di Kejohanan Dunia Remaja BWF 2017. Pada tahun 2020 pula, atlet ini berjaya memenangi pingat perak dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia.

Pemain ini juga telah memenangi 4 gelaran cabaran antarabangsa sepanjang 2021 iaitu di Terbuka Poland, South Australia International, Antarabangsa Belgium dan Terbuka Scotland. Pada tahun 2022, Tze Yong telah berjaya mendapatkan emas Sukan Komanwel dalam kategori pasukan campuran. Ranking terbaik Tze Yong buat masa ini adalah 41 terbaik dunia.

Malaysia tidak pernah lelah dalam usahanya untuk melahirkan atlet-atlet terbaik bertaraf dunia. Walaupun ramai legenda yang telah bersara, tetapi akan ada pemain baru yang berjaya digilap bagi merangkul gelaran terbaik dunia. Dengan usaha ini tidak mustahil tidak lama lagi kita akan dapat melihat kelahiran atlet yang setanding atau mungkin lebih hebat daripada Datuk Lee Chong Wei.

CLOSE